Saturday, April 5, 2025

Apakah Matlamat Kewangan Anda?

 

Apakah Matlamat Kewangan Anda?

Untuk menyimpan wang, menyimpan emas, melabur dan sebagainya, anda perlu ada matlamat kewangan yang jelas.

Sebagai contoh, anda ingin bersara seawal mungkin iaitu pada tahun 2035 dengan pendapatan bulanan RM5000 sebulan sebagai matlamat kewangan diri anda kerana anda merasakan RM5000 sudah mencukupi untuk anda memenuhi keperluan hidup anda selepas anda bersara.

Anda juga boleh menjadikan matlamat untuk bebas hutang sebelum tahun 2035 sebagai matlamat kewangan anda.

Anda juga mungkin ingin mengumpul sejumlah wang untuk anda melanjutkan pelajaran, untuk dana perkahwinan, untuk dana beli rumah, dana untuk memulakan perniagaan dan juga dana simpanan persaraan untuk persaraan anda nanti sebagai matlamat kewangan anda. Bergantung pada diri anda.

Selanjutnya, anda akan ligat berfikir, bagaimanakah untuk anda capai matlamat anda ini? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil? Berapa cepatkah anda nak capai matlamat ini?

Ini semuanya perlu anda tetapkan sejelas-jelasnya dan rancang dengan teliti untuk masa depan anda

Matlamat kewangan diri dan pengurusan kewangan diri bukanlah satu pilihan. Ianya adalah perkara wajib dan asas yang perlu anda uruskan dan selesaikan seawal mungkin.

 

Tanpa matlamat kewangan yang jelas, anda tidak akan tahu apa yang perlu dibuat dengan pendapatan harian/bulanan anda, anda akan membuat hutang-hutang negatif, terbeban dengan masalah kewangan kronik, terbeban dengan hutang yang menggunung, tiada aliran tunai yang baik, tiada wang simpanan yang mencukupi, tidak dapat menikmati gaji anda kerana komitmen bulanan yang tinggi. Akhirnya, anda mungkin stress dan muflis pada usia muda. Menakutkan bukan?

 

Tanpa matlamat kewangan yang jelas, jika anda ada simpanan sekalipun, simpan anda akan selalu bocor kerana anda akan sering berbelanja sewenang-wenangnya untuk melancong, membeli pelbagai barangan yang tidak perlu ketika ada jualan hari perayaan, ketika ada jualan murah di gedung-gedung besar dan sebagainya untuk reward diri atas alasan, anda telah penat berkerja dan sebagainya.

Anda tidak akan mengutamakan kepentingan untuk menabung atau menyimpan wang anda kerana anda rasa tiada keperluan untuk anda menabung hari ini dan kerana anda rasa langit akan sentiasa cerah.

Hasilnya, simpanan anda yang sedikit demi sedikit itu akan sentiasa sedikit dan semakin berkurang kerana anda akan sering mengorek tabung anda tersebut untuk berbelanja. Namun begitu, korek tabung ini adalah lebih baik daripada anda tidak menabung langsung.

Ada juga yang ada kesedaran menabung, tapi jumlah tabungannya tidak bertambah kerana dia tiada ilmu menabung yang betul.

 

Ubahlah diri anda hari ni juga. Tetapkan matlamat kewangan anda segera supaya anda tahu dengan jelas ke mana arah dan hala tuju kewangan anda dan tidak lagi hanyut dan terumbang-ambing di lautan kekeliruan selamanya.

Kebiasaannya, apabila anda sudah ada matlamat yang jelas, strategi dan jadual pelaksanaan perancangan  yang jelas, ditambah pula dengan sikap komited anda untuk merealisasikan mattlamat anda, anda akan berjaya mencapai matlamat anda itu lebih awal dari yang anda rancang. 

Bila kita ada lebih banyak wang, kita akan dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan di luar sana melalui sedekah dan zakat kita yang lebih banyak dari sebelumnya.

Matlamat kewangan akhir kita adalah kita mahukan sentiasa ada wang yang mencukupi walaupun kita tidak lagi mampu berkerja suatu hari nanti. Ini boleh dicapai melalui pendapatan pasif yang mencukupi. Dengannya, kita akan capai kebebasan masa.


Anda berminat untuk mulakan simpanan emas bersama Public Gold? Sila klik di sini untuk saya bimbing anda mulakan simpanan emas anda hari ini juga


Mohammad Kamal bin Mohd Mahfudz
Dealer Aktif Public Gold 
Bangi, Malaysia


'Your ultimate financial freedom begins here'

0 comments:

Post a Comment

Bagaimana Untuk Keluarkan/Fizikalkan Emas Dari Akaun GAP?

 Anda boleh keluarkan/fizikalkan emas dari akaun GAP anda dengan menggunakan feature/ciri/fungsi withdraw melalui applikasi Public Gold di h...